Tuesday, August 2, 2011

Khairul Fahmi dan Elia putus tunang!!







KUALA LUMPUR: “Saya langsung tidak tahu dia mahu putuskan pertunangan kami. Saya hanya mengetahuinya melalui akhbar (Metro Ahad) hari ini (semalam),” kata Aimie Harmelia Mohd Hashumi, 22, tunang penjaga gol nombor satu negara, Khairul Fahmi Che Mat.

Sehubungan itu, Aimie Harmelia atau lebih mesra dengan panggilan Elia menafikan dakwaan Khairul Fahmi keputusan memutuskan pertunangan diambil selepas berbincang dengannya.


“Dia tidak pernah cakap apa-apa mengenai keputusannya (putus tunang), tiba-tiba dia keluarkan kenyataan dalam akhbar membuatkan saya dan keluarga begitu terkejut,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Elia berkata, pergolakan dalam hubungan mereka sudah berlarutan sejak sebulan lalu dan lebih memburukkan keadaan apabila Khairul Fahmi enggan berjumpanya bagi menyelesaikan masalah mereka.


“Apabila diajak berbincang, pelbagai alasan diberikan malah saya pergi berjumpanya selepas perlawanan persahabatan skuad negara menentang Liverpool pertengahan bulan lalu untuk menyelesaikan masalah kami, namun ditolaknya,” katanya.


Mengenai kenyataan Khairul Fahmi pertunangan mereka berakhir bukan kerana orang ketiga, Elia menegaskan kenyataan itu hanya helah Khairul Fahmi untuk `menyelamatkan' dirinya sedangkan banyak bukti menunjukkan dia ada hubungan dengan wanita lain.

“Pada saya punca sebenar masalah kami memang disebabkan orang ketiga dan saya mempunyai bukti kukuh mengenainya. Mungkin disebabkan itu dia enggan bertemu saya,” dakwanya.


Elia mendakwa, kewujudan orang ketiga dalam perhubungannya dengan Khairul Fahmi sudah diketahuinya sejak awal Julai lalu melalui pelbagai petunjuk, malah selepas diselidikinya dia percaya Khairul Fahmi ada hubungan dengan wanita lain sebelum mereka bertunang lagi.

“Saya tidak henti-henti berdoa supaya Allah berikan petunjuk bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku antara kami. Tak sangka, tak lama selepas itu ada seorang wanita datang berjumpa saya dan mengaku ada hubungan istimewa dengan Khairul Fahmi,” katanya.


Menjawab satu soalan, Elia mengaku ada mengeluarkan kenyataan dalam laman sosial facebook mengenai tindakan Khairul Fahmi menengking ibunya (Elia).


“Mungkin tindakan itu salah saya, tapi selepas itu saya mendiamkan diri dan tidak keluarkan sebarang kenyataan lagi sebab ingin memberi masa kepadanya memulihkan keadaan. Tidak sangka pula dia sudah buat keputusan dan menghebahkan di akhbar tanpa berbincang terlebih dulu dengan saya,” katanya.


Elia berkata, tindakan Khairul Fahmi memutuskan pertunangan memang dikesalinya kerana dia sudah menyiapkan sedikit sebanyak persiapan untuk perkahwinan mereka yang sepatutnya berlangsung pada hujung Oktober ini.


Sementara itu, ibu Elia yang enggan namanya disiarkan berkata, walaupun sedih dengan apa yang berlaku dia bersyukur kerana Allah memberikan petunjuk sebelum perkahwinan anaknya berlangsung. “Namun, mak cik minta dia (Khairul Fahmi) selesaikan semua ini dengan cara baik. Jika dulu dia meminang anak mak cik dengan cara baik, seeloknya mahu putus pun biarlah dengan cara baik, bukan cara sebegini,” katanya.





credit sumber: http://www.hmetro.com.my/articles/2011080100314320110801003143/Article


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...